October 8, 2010

Kursus Motivasi Pengurusan Keluarga dan Peningkatan Pendapatan (PPMI) Negeri Kelantan

Projek Latihan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) dan kolaborasi bersama principal consultant Bayu Irama Consult telah membawa kami ke pantai timur bandar Kota Bharu, Kelantan. Program 3 hari ini adalah anjuran agensi pelaksana Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pejabat Negeri Kelantan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Seramai 78 peserta ketua isi rumah dan ahli isi rumah dari jajahan Pasir Puteh dipilih menyertai program Motivasi Pengurusan Keluarga dan Peningkatan Pendapatan ini yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan kemiskinan tahap sifar dapat dicapai. Majoriti peserta adalah usahawan Bumiputera yang telah menerima bantuan dana daripada pihak agensi dalam memajukan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Modul yang direkabentuk merangkumi skop mengenal kendiri dan tanggungjawab, skop pembebasan/pemahaman minda dan mengubah sikap dan skop menguruskan ekonomi dan sumber keluarga, skop keseimbangan kesihatan dan penerapan nilai sivik dalam pembangunan negara serta kemajuan masyarakat. Salah satu tugasan luar yang dijalankan iaitu 'Berjihad Membasmi Kemiskinan' telah memberi peluang kepada peserta untuk menemuramah peniaga-peniaga sekitar pekan Kota Bharu seperti di Pasar Siti Khadijah mengenai soal selidik perniagaan. Di dapati semangat keusahawanan peniaga yang ditemubual amat luar biasa dengan kisah pengalaman mengharungi turun naik berniaga boleh dijadikan inspirasi. Kejayaan kami mengendalikan kursus ini telah meletakkan satu 'benchmark' yang positif terhadap syarikat menerusi penilaian yang telah dibuat dalam penentuan keberkesanan kursus ini.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur, jurulatih dan kesemua peserta yang memberi kerjasama cukup baik dan tidak menunjukkan kebosanan sepanjang mengikuti kursus. Walaupun dialek berbeza, ia sedikit pun tidak menjadi penghalang malah menjadi tali pengerat sillaturahhim dalam perkongsian ilmu kali ini. Pengalaman kami berada bersama anda walaupun singkat sentiasa tersemat dalam ingatan. Semoga kita dapat dipertemukan lagi pada siri kursus yang akan datang. Insya-Allah.

'Kelate Cemerlang Sokmo'